Dec 12, 2025 - FASSelangor FC tidak dapat menambah mata dalam saingan selepas tewas tipis 1-0 ke atas Lion City Sailors, sekaligus mengakhiri perjuangan dalam kempen ACLTWO 2025/26 Kumpulan G.
Biarpun pasukan sudah maklum bahawa kami tidak dapat mara ke pusingan seterusnya, para pemain tetap memberikan saingan yang tinggi kepada Lion City Sailors dengan mencipta 14 percubaan serta beberapa peluang melalui sepakan penjuru. Separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan. Tidak lama selepas babak kedua bermula, Tsiy-William Ndenge menjaringkan satu-satunya gol perlawanan pada minit ke-50, yang menjadi gol kemenangan buat The Sailors. Walaupun pasukan terus membuat percubaan demi percubaan sambil bertahan daripada tekanan pihak lawan, perlawanan tetap berakhir dengan keputusan 0-1.
Christophe Gamel, Ketua Jurulatih Selangor FC, akui kesilapan disiplin menghukum pasukan namun beliau berharap pengalaman seperti ini akan membantu para pemain di masa hadapan.
“Sekali lagi, satu kesilapan kecil telah merosakkan permainan dan kita harus menerimanya dengan hati yang terbuka. Satu situasi bola mati telah menghukum pasukan. Dalam satu aspek kita berada pada tahap yang baik, namun dalam aspek lain kita masih perlu sentiasa perbaiki,” jelas beliau.
“Ini merupakan satu pengalaman yang baik untuk kita, terutama sekali apabila kita berdepan pasukan yang kuat dalam kejohanan seperti ini membantu mengembangkan corak permainan pasukan. Saya tahu keputusan tidak begitu baik, namun banyak yang kita belajar. Selain itu, ada beberapa pemain yang saya berikan minit permainan sebagai persediaan mereka untuk masa depan,” tambahnya lagi.
Seterusnya, Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang bagi menentang PDRM FC bagi saingan Liga Super 2025/26 pada 23 Disember ini jam 9 malam.
Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada 2,354 penyokong yang hadir memeriahkan Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam. Sokongan semestinya memberi semangat kepada para pemain. Kami amat hargainya.
Demi Kebanggaan!